APA ITU SIVIK?
Majoriti pelajar
kurang mengambil berat dengan masalah sivik. Setiap hari ketika di sekolah, guru-guru menekankan tentang masalah
sivik yang paling ketara berlaku di kalangan pelajar iaitu
KEBERSIHAN. Tidak keterlaluan jika dikatakan pelajar seolah-olah seperti sudah tidak
tahu menjaga kebersihan. Banyak sampah di sana-sini. Juga banyak contengan. Sama ada kurang didikan daripada rumah atau mungkin inilah masalah biasa bila negara semakin maju dan moden. Semua pelajar seharusnya tahu menjaga kebersihan. Apatah lagi jika kebersihan diri pun tidak dijaga dengan baik seperti kebersihan pakaian, kasut, stokin dan apa sahaja yang sepatutnya dijaga kebersihan. Biasanya kita sendiri akan merasa 'senang' atau tidak merasakan apa-apa jika bau busuk datang daripada kita sendiri tetapi kita akan cepat melenting, melatah atau menutup hidung bila bau busuk datang daripada orang lain.
Sangat menghairankan bila hal-hal tidak menjaga kebersihan seperti ini berlaku. Kenapa? Mungkin kerana sikap manja atau tidak mahu berdikari yang ditanam di rumah atau mungkin kerana adanya pembantu rumah (amah) yang melakukan kerja-kerja pembersihan di rumah? Sangat menggeramkan bila sampah boleh dilihat merata tempat sedangkan tong sampah disediakan.
Setiap hari kita membuang bertan-tan sampah. Jika sampah ini tidak dibuang dengan betul, pasti dengan masa yang singkat boleh menenggelamkan satu-satu tempat itu. Jika betul, ada cerita mengatakan jika kita kumpul sampah di Malaysia selama beberapa hari, timbunan sampah akan setinggi KLCC. Betul atau tidak, itu membayangkan betapa banyaknya sampah kita setiap hari.
Di Singapura, pembuangan sampah di merata tempat merupakan satu kesalahan besar. Ini menunjukkan betapa kerajaan mereka mementingkan kebersihan alam sekitar. Pesalah akan didenda dengan berat jika tertangkap. Hairannya, kita di Malaysia dengan selamba sahaja membuang sampah di merata tempat seperti keluar tingkap kereta, puntung-puntung rokok di celah-celah pokok bunga, tiket-tiket bas yang disisipkan di celah-celah tempat duduk, gula-gula getah yang dilekatkan begitu sahaja di mana-mana dan banyak lagi bentuk pembuangan sampah.
Perkara yang ditimbulkan di sini hanyalah merupakan satu isu sivik manusia. Kita tahu bahawa sikap tidak menjaga kebersihan merupakan satu sikap yang tidak baik. Tapi, kita masih juga melakukannya. Kita belum lagi menyentuh isu-isu sivik yang lain yang banyak berlaku di mana-mana.
Diharap kita semua dapat mengubah diri dan bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan sekeliling kita. Mulakan dengan menjaga kebersihan diri sendiri. Jika kita benar-benar menjaga kebersihan diri, secara langsung kita juga akan menjaga kebersihan alam sekitar kita. Marilah kita saling menasihati satu sama lain dalam hal menjaga kebersihan. Kebaikan untuk kita sendiri juga.
No comments:
Post a Comment